Cerai : Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Allah Kerana Cuai

Thursday, June 28, 2012

KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.


Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan “hadiah” yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan.

"Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya.

“Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu

Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini.

Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah.

Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini.

"Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini.

"Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya.

Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.

Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.

Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.

Sumber : mStar

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Gerhana Bulan Separa pada 4 Jun & Transit Planet Zuhrah Melintasi Matahari pada 6 Jun 2012

Friday, June 1, 2012


Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak minggu depan iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) dan transit planet Zuhrah melintasi matahari pada Rabu (6 Jun 2012)

Yang Dipertua Persatuan Falak Syari Malaysia Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara ketika waktu Maghrib.

"Fenomena transit planet Zuhrah pula amat menarik. Pada 6 Jun 2012, Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan binokular atau teleskop yang dilapisi penapis suria, orang ramai boleh melihat satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari.Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

Syed Kamarulzaman berkata sentuhan pertama apabila planet Zuhrah menyentuh cakera matahari berlaku pada pukul 6.10 pagi, sentuhan kedua pada pukul 6.27 pagi apabila Zuhrah masuk sepenuhnya ke dalam cakera matahari, sentuhan ketiga pada pukul 12.31 tengah hari apabila planet itu mencecah pinggir cakera matahari sebelum keluar dan sentuhan ke empat pada pukul 12.49 tengah hari apabila Zuhrah meninggal sepenuhnya cakera matahari.

Peluang lihat planet Zuhrah

GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.

Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.

"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.

Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.

- BERNAMA & KOSMO!
DeSiGn By MiJiE BloG @ 2011. Powered by Blogger.